Feed on
Posts
comments

Berhutang Tunai Haji

HAJI satu ibadat penting dalam Islam. Ulama secara ijmak mengatakan ia adalah fardu ke atas setiap orang Islam yang berupaya mengerjakannya dan satu daripada rukun Islam yang lima.

Ayat 97 Surah Ali Imran antara lain bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Kewajipan melaksanakan haji itu hanya sekali seumur hidup sebagaimana dijelaskan Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a bermaksud: “Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami. Sabdanya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah mewajibkan haji ke atas kamu, oleh itu kerjakanlah haji itu.”

Seorang lelaki bertanya: Adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah? Rasulullah s.aw diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah Rasulullah s.a.w menjawab: Jika aku jawab ya, nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya.”

Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) mengenai apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya sudah binasa orang sebelum kamu dengan sebab banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi mereka. Maka aku menyuruh kamu dari (mengerjakan) sesuatu, kamu tinggalkan ia.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam melaksanakan kefarduan haji dan umrah, ada beberapa syarat yang mewajibkannya, antaranya berkuasa.

Berkuasa melaksanakan haji dan umrah boleh dilihat pada dua aspek, iaitu berkuasa melaksanakannya dengan sendiri dan berkuasa menunaikan dengan pertolongan orang lain.

Setiap aspek itu ada syarat tertentu, contohnya berkuasa melaksanakan haji oleh dirinya sendiri antara syaratnya, ada perbelanjaan yang cukup untuk dirinya dalam perjalanan pergi dan balik serta sepanjang melaksanakan haji serta untuk sara hidup orang yang wajib ditanggungnya serta perbelanjaannya itu melebihi hutangnya.

Di samping itu, ada kenderaan untuk menyampaikannya ke Makkah seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada milik sendiri atau mampu menyewanya.

Syarat bekalan dan kenderaan itu ada disebut dalam hadis diriwayat Ibnu Umar dengan katanya: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w, dia berkata: Wahai Rasulullah apakah yang mewajibkan haji itu? Maka sabda baginda: Bekalan dan kenderaan.”

Bagaimanapun, kewajipan menunaikan haji tidak akan gugur bagi orang yang terlalu tua, orang menghidap penyakit yang tidak ada harapan sembuh dan penyakit teruk, seperti dinyatakan Datuk Md Daud Che Ngah dalam buku Kursus Kesempurnaan Ibadat Haji & Umrah.

Bagaimanapun, dalam kes berkaitan hutang, apa pula justifikasinya? Apakah orang yang berhutang wajib atau tidak mengerjakan haji?

Presiden Majlis Fekah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi, berkata haji tidak menjadi kefarduan terhadap seseorang yang berhutang.

“Bagaimanapun, jika seseorang itu mempunyai pinjaman jangka panjang dan beliau dikehendaki membayar hanya jumlah tertentu setiap bulan, hutangnya itu tertakluk melalui bayaran setiap bulan.

“Sekiranya beliau membayar semua hutangnya dan kemudian tiada baki padanya untuk melaksanakan haji, ibadat haji tidak diwajibkan ke atasnya.

“Tetapi jika beliau hanya membayar secara ansuran bulanan dan kemudian mempunyai wang secukupnya untuk melaksanakan haji, dia sepatutnya mengerjakan haji kerana ia menjadi kewajipan ke atasnya.

“Jika seseorang itu berhutang dan pemberi hutang membenarkannya untuk pergi haji, dia boleh melaksanakan haji,” katanya.

Bertitik-tolak dari situ juga timbul kekeliruan mengenai pelaksanaan ibadat haji dengan kaedah pinjaman (hutang), yang dibayar kemudian seperti dengan cara ansuran, ditambah dengan keadaan mutakhir ini, ketika orang ramai mudah mendapatkan pembiayaan atau pinjaman.

Ini kerana ada pihak mengatakan cara itu dibolehkan manakala setengah yang lain pula berdasarkan hujah masing-masing mendakwa kaedah seperti itu tidak dibenarkan.

Dr Muzammil berkata, jika seseorang mengambil pinjaman (tanpa faedah) untuk melaksanakan haji dan dia melaksanakan haji, ibadat hajinya itu sah, walaupun tidak dikehendaki berbuat demikian dan haji tidak menjadi kewajipan ke atasnya.

Ulama kontemporari lain menyatakan, adalah dibenarkan untuk melaksanakan haji dengan cara pinjaman yang dibayar ansuran jika seseorang itu tidak mampu mengadakan belanja sekali gus.

Mufti Mesir, Dr Ali Jum’ah, berkata: “Adalah sah bagi seseorang untuk melaksanakan ibadat haji atau umrah dengan cara ansuran; ia tidak melanggar mana-mana upacara atau syarat berkaitan haji atau umrah.

Rektor Universiti Al-Azhar, Dr Ahmad At-Tayyeb berkata: “Secara umum, tidak sah menegah untuk membayar bagi sesuatu secara ansuran, selagi ia tidak membabitkan bayaran faedah.

“Dengan itu, tiada kesalahan jika institusi kewangan membayar perbelanjaan haji bagi pihak ahlinya sebagai pinjaman tanpa faedah dalam keadaan itu dan ahlinya akan membuat bayaran balik secara ansuran.”

Seorang ulama, Dr Abdel-Fattah Idrees, yang juga Profesor Undang-undang Perbandingan di Universiti Al-Azhar menyatakan:

“Melaksanakan haji dengan bayaran ansuran, atau dalam perkataan lain melalui institusi kewangan (yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab agama) adalah dibenarkan kerana tiada nas yang melarang daripada melaksanakan ibadat haji seperti itu.

Tambahan lagi, jemaah haji dalam kes terbabit akan membayar balik wang yang dipinjam (dihutang). Pandangan ini mengikut aliran perundangan, seperti Syafie dan Zhahiri, yang mengatakan mana-mana cara yang menurut hukum membenarkan seseorang untuk melaksanakan haji adalah dipertimbangkan dalam perkara terbabit walaupun jika ia melalui pinjaman wang.

Dengan itu, melaksanakan ibadat haji dengan cara ansuran adalah dibenarkan dan mendapat ganjaran sebagai ibadat haji apabila semuanya dijelaskan.”

Berdasarkan huraian ulama terbabit, secara ringkas dan umum dapat difahami ibadat haji dengan cara pinjaman tanpa faedah dibenarkan dan sah.

Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan Brunei juga ada menghuraikan perkara ini, cuma ia cenderung memperkatakan mengenai permasalahan hutang dan kedudukan seseorang individu yang tiada kemampuan kewangan untuk mengerjakan haji.

Antara lain ia menjelaskan: “Dalam Islam berhutang dibolehkan, tetapi tidak dibolehkan kerana mengambil risiko yang boleh menyusahkan di dunia dan akhirat.

Banyak hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang, antaranya, bermaksud: “Dan jauhilah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya.” (Hadis riwayat Imam Malik)

Pada zaman Nabi s.a.w ada yang bertanya kepada baginda mengenai orang tidak berupaya mengerjakan haji. Adakah dia perlu berhutang kepada orang lain supaya dapat pergi haji, akan tetapi Nabi s.a.w tidak membenarkannya.

Perkara ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Auf, katanya: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak (dapat) pergi haji: “Adakah dia boleh berhutang untuk pergi haji? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji dan umrah, ulama membuat syarat tertentu yang kemas berdasarkan al-Quran, hadis dan ijmak.

Jika syarat itu tidak dapat dipenuhi seseorang, tidaklah wajib baginya mengerjakan haji, walaupun ia satu daripada rukun Islam.

Ini membuktikan Islam itu adalah rahmat dan tidak menyusahkan umatnya. Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan fardu haji dan umrah yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu dia sampai menyusahkan dirinya dengan berhutang.

Apatah lagi bagi orang yang pernah pergi mengerjakan haji dan umrah. Lebih-lebih lagi jika umrah yang dilakukan itu, hanya berbentuk sunat semata-mata, jadi berhutang bagi tujuan ini suatu perkara yang tidak dituntut agama kerana ia akan menjadi beban dan akan menyusahkannya.”

SOALAN:BAGAIMANA cara yang terbaik untuk mendapatkan haji yang mabrur? Selain menjadi rukun dan syarat secara betul apa lagi perlu diberi perhatian untuk mendapatkan haji yang mabrur?
Kebanyakan ulama ada membincangkan perkara ini, namun di antara karya yang boleh dirujuk dan banyak membantu ialah karya Imam al-Ghazali. Mencari haji yang mabrur melalui tertib kesopanan dan amalan-amalan kebatinan yang dinukilkan oleh Imam alGhazali r.a. adalah suatu yang cukup membatu dan menarik.
JAWAPAN:
Tatatertib kesopanan yang khas dalam ibadat haji ada tujuh perkara:
  1. Hendaklah nafkah yang dibelanjakan itu dari harta yang halal, manakala segala perhatian dan tujuannya hanya semata-mata untuk Allah SWT sahaja dan kerana membesarkan syiarnya. Orang yang membuat haji untuk orang lain maka hendaklah dia berniat untuk dirinya menziarahi bait al-Haram dan menolong saudaranya yang muslim untuk menunaikan fardu haji yang wajib ke atasnya. Bukan kerana tujuan mencari untung atau berniaga dengan menggunakan agama untuk mencapai tujuan dunia. Jadi samalah seperti orang yang mencari dunianya dengan menjual amalan akhirat. Bahkan yang sepatutnya dia menggunakan kesempatan keduniaan itu untuk mencapai tujuan agama, iaitu dapat berhaji dan berziarah sekali gus.
  2. Meluaskan persediaan dalam makan minum dan murah hati dalam budi dan membelanjakan harta dengan bersedekah, tidak terlalu lokek ataupun terlalu boros. Tetapi bersederhana sahaja menurut cara orang yang yang merancang perbelanjaannya. Membelanjakan wang dalam makan minum kerana tujuan haji adalah nafkah yang dikeluarkan untuk jalan Allah Azza Wa Jalla, tentulah pahalanya berlipat ganda. Ibn Umar pernah berkata: ” tanda-tanda orang bermurah hati ialah memewahkan makan minum dalam perjalanannya.”
  3. Meninggalkan rafas, fusuq dan jidal, iaitu dengan nas al-Quran al-Karim, firman Allah yang bermaksud: “ (Masa untuk mengerjakan ibadah ) haji itu ialah beberapa bulan yang dimaklumi. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya ( dengan niat mengerjakan ) ibadah haji itu pada bulan-bulan yang tersebut, maka tidak boleh mencampuri isteri (bersetubuh) dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar ketika melakukan ibadah haji…” (al-Baqarah: 197 ). Rafas ialah: mencampuri isterinya (jimak), serta perbuatan-perbuatan yang boleh menimbulkan syahwat. Fusuq ialah: perbuatan keji atau maksiat, melakukan sesuatu yang membuat seseorang terkeluar daripada mentaati Allah SWT. Jidal ialah bertengkar dan berbantah-bantah, atau suatu perselisihan yang boleh membawa kepada hasad dan benci membenci yang bertentangan dengan budi pekerti yang luhur. Janganlah dia terlalu membangkang sangat teman-teman seperjalanan ataupun tukang-tukang kenderaan dan sahabat yang lain. Bahkan sebaik-baiknya ialah dia berlemah lembut kepada mereka dan bersifat rendah diri kepada sekalian jemaah haji yang sama-sama pergi ke Baitullah itu. Hendaklah berbudi pekerti tinggi, dan berbudi pekerti yang tinggi bukanlah hanya dengan menahan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain sahaja, bahkan sanggup bersabar dan menanggung segala sesuatu dari orang lain yang menyakiti dirinya.
  4. Hendaklah orang yang menunaikan ibadat haji ini meninggalkan pakaian orang yang boros dan takbur, jangan sampai cenderung berlagak seperti orang yang suka berlebih-lebihan menunjuk-nunjuk diri, nescaya ia akan terkira dalam golongan orang takbur, dan terkeluar pula daripada kumpulan orang yang soleh. Ini kerana suasa dan lautan manusia serta debu akan menjadikan serba sedikit kelihatan tidak bersih. Tidak bersih tidak bermakna bernajis. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf Baytullah yang tua sejarahnya itu.” ( al-Hajj: 29) Ibn kathir dalam tafsirnya menukilkan pandangan Ali bin Abi Talhah dan Ibn Abbas, kedua mereka menjelaskan: ” ayat ini bermaksud menanggalkan pakaian ihram, mencukur rambut, memakai pakaian biasa dan memotong kuku.” Pandangan yang sama diriwayatkan oleh Atha’ dan Mujahid.( Ibn kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, Dar al-Faiha’, Dimasyq, 1414H-1994M, jld:3, hlm:293)
  5. Hendaklah dia menaruh belas ihsan terhadap binatang, dan jangan membebankan nya dengan barang yang terlalu berat sehingga tidak tertahan dia menanggung, dan jangan juga menunggang ke atasnya terlalu lama sangat, bahkan hendaklah dia turun sekali sekala dari belakangnya untuk menunjukkan timbang rasa terhadap binatang itu.
  6. Hendaklah dia mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat korban, meskipun tidak wajib atasnya. Manakala ketika berkorban hendaklah mencari sembelihan yang gemuk dan berharga. Kerana berkorban ini bermaksud menyucikan lagi jiwa seseorang sebagai tanda taqarrub dan takwa seseorang itu kepada Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: “daging dan darah binatang korban atau hadiah itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu…” ( al-Hajj:37 ).
  7. Hendaklah segala yang dibelanjakan itu dari jiwa yang suci murni, sama ada merupakan perbelanjaan mahupun korban, dan dia reda dengan segala kerugian dan kecelakaan pada harta dan badan yang mungkin menimpanya. Pada tiap-tiap kerugian yang diterimanya dan dan kesusahan yang dialaminya pasti akan mendapat pahala, ini kerana tiada sesuatu apa pun yang hilang di sisi Allah SWT.
  8. Begitulah tujuh perkara yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali dalam karyanya yang berjudul Mau‘izatul Mukminin Min Ihya’ Ulumuddin. Semua ketujuh-tujuh yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali ialah suatu yang realistik dan futuristik. Pada realiti semasanya dan akan datang perkara-perkara ini akan berulang. Maka adalah diharapkan agar nasihat ini dapat dijadikan panduan dalam mendamba haji yang mabrur.

Puasa Sunat Syawal

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi) yang bermaksud: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu)”. (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi. (Sahih Muslim no: 1151)

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun. (Sahih al-Bukhari no: 2840) Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal.

Dalil puasa sunat Syawal

Abu Ayyub Al-Ansari r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun. (Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa setahun.

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.

Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah SWT maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah puasa sunat Syawal

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadan antaranya menyebabkan sistem pencernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan.

Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberi ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain itu, sebagai manusia yang menjadi hamba Allah, alangkah baik seandainya amalan puasa yang wajib pada bulan Ramadan ini kita teruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari.

Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada tuhannya. Sebab itulah kata ulama: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.

Hukum puasa sunat

Syawal

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi r.h: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadan. (Syarah Sahih Muslim 8/56)

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama adalah:

l Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.

Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Maka puasa enam itu boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah tamat bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (ali ‘Imran: 133)

* Melaksanakan puasa sunat Syawal sebelum qada puasa Ramadan.

Ada dua pendapat ulama dalam masalah ini.

* Pendapat pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah r.a pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqadanya hingga ke bulan Syaaban yang akan datang.

Aisyah r.a berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban” * kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. (Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan * kerana sibuk melayani Rasulullah SAW ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa’id.)

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal.

Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

* Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya. Ini berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini.

Hadis tersebut berbunyi: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.

Rasulullah SAW mensyaratkan “berpuasa Ramadan” dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat) kerana ia lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat.

Ini disokong dengan ayat 133 surah ali-Imran yang dikemukakan tadi. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal sunat.

Namun, jika seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qada kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menggabungkan puasa qada dan puasa enam

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Ulama khilaf dalam hal ini. Sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Jika dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan tidak bagi yang sunat.

Ada di kalangan ulama Syafieyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.

Namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah)

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qada atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya).

“Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadan kemudian berpuasa pada bulan Syawal.

“Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. (Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut)

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah.

Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qada dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardu (orang yang terus melakukan solat fardu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT.

Memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

« Newer Posts - Older Posts »